Sehari bersama kanak-kanak di Rumah Kanak-kanak Taman Bakti
Sesungguhnya anak itu umpama kain putih ketika dilahirkan, ibu bapa yang ditugaskan membentuk dan mencorak masa hadapan kanak-kanak ini. Tapi sayangnya, kanak-kanak di Rumah Kanak – kanak Taman Bakti ini tidak mempunyai semua itu. Mereka samaada ditinggalkan sejak dilahirkan atau dihantar ketika baru hendak mula mengenal dunia. Malahan ada antara mereka, yang masih mempunyai ibu bapa tetapi ditinggalkan dek kerana masalah keluarga yang ibu dan bapa mereka hadapi. Walau Bagaimanapun, semua ini adalah ketentuan Allah. Kita sebagai hamba Allah hanya mampu redha dan mendoakan yang terbaik untuk mereka.
Setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ilahi kerana diriku ini terpilih untuk dilahirkan dalam keluarga yang harmoni dan bahagia. Seketika diri ini terasa begitu bertuah tatkala membandingkan diri dengan kanak-kanak di Rumah Kanak-kanak Taman Bakti itu. Ketika tiba disitu, kelihatan riak wajah ceria kanak-kanak yang belum mengenal erti dunia. Tetapi disebalik keceriaan itu, terselit seribu kesedihan. Namun, perkara ini adalah lumrah bagi insan yang bergelar kanak-kanak. Mereka sentiasa ceria tanpa mengira kesedihan disebalik mereka.
Pada waktu pagi ketika matahari mula menjengah alam ini, kami mulakan usaha murni kami dengan aktiviti fizikal iaitu senam robik. Aktiviti ini diketuai oleh Hafizzi. Ketika ini, kanak-kanak kelihatan tidak sabar untuk memulakan aktiviti ini. Namun terdapat beberapa orang kanak-kanak yang masih kebingungan dengan apa yang akan dilaluinya pada hari ini. Setelah bermulanya aktiviti senamrobik mereka mula tertarik bagi mengikuti apa yang berlaku. Mungkin ini disebabkan tertarik dengan lagu yang mengiringi senamrobik itu, sehinggakan mereka mengikuti bait-bait lagu yang dikumandangkan. Semua kanak-kanak mengikut pergerakkan yang ditunjukkan dengan penuh minat. Seketika aku bermonolog didalam diri “mereka ini kanak-kanak yang mulia, semoga aku dapat mengikhlaskan diri memberikan kegembiraan kepada mereka”.
Kemudian, kami meneruskan program kami dengan aktiviti ‘ice breaking’ iaitu bagi membahagikan kanak-kanak ini kepada beberapa kumpulan. Aktiviti ini dilakukan di dalam dewan Rumah Kanak-kanak Taman Bakti. Sepanjang aktiviti ini, kanak-kanak diberikan dua orang pelajar guru sebagai fasilitator yang akan bersama mereka sepanjang program ini. Di permulaan suai kenal dengan kanak-kanak ini, sedikit rasa kekok kerana tidak tahu bagaimana ingin memulakan topic perbualan kerana ditakuti tersilap cakap sesuatu yang akan menyakiti hati mereka. Namun, digagahkan juga diri ini dengan memperkenalkan diri “ Nama abang Mohd Azizi Bin Mat Arshad @ Hashim” dan memulakan dengan sesi suai kenal dengan semua ahli kumpulan. Seketika mendengar mereka memperkenalkan nama, diri ini berfikir, mereka semua memperkenalkan nama pendek mereka sahaja, tiada bin dan binti. Mungkin kebetulan tidak menyebut atau ada kisah disebaliknya, saya hanya mendiamkan diri. Kemudian, Azrie yang bertugas sebagai pengacara pada hari itu menarik perhatian semua kanak-kanak ini dengan aktivitinya. Aktiviti ini berterusan selama 20 minit. Sepanjang aktiviti ‘ice breaking’ ini saya dapat mempelajari banyak perkara termasuklah menyelami hati kanak-kanak yang mempunyai cerita sedih disebalik keceriaan mereka. Namun, terdapat sedikit kelemahan semasa menjalankan aktiviti ini, antaranya ialah pembahagian kumpulan tidak dilakukan dengan sekata antara lelaki dengan perempuan. Ini menyebabkan ada kumpulan yang mempunyai ramai lelaki dan ada yang mempunyai ramai perempuan. Ini akan menyukarkan fasilitator untuk mengawal mereka.
Selesai sahaja sesi suai kenal ini, kami terus membawa kanak-kanak ke aktiviti yang seterusnya iaitu sukaneka. Kanak-kanak ini sedikit teruja kerana disogokkan dengan hadiah yang akan diperolehi jika memenangi sukaneka ini. Mereka bersungguh-sungguh bermain setiap sukan dengan sepenuh kudrat yang mereka ada. Namun disebalik keceriaan ini terselit sedikit masalah kerana terdapat segelintir kanak-kanak yang tidak mahu mengikuti aktiviti yang kami jalankan. Tetapi, perkara itu tetap tidak menghalang kelancaran aktiviti ini. Setelah selesai aktiviti ini, jelas kelihatan kepuasan pada riak wajah kanak-kanak itu. Namun disebalik kelancaran aktiviti ini, terselit sedikit kekurangan yang harus diperbaiki. Yang pertamanya ialah mengenai pengurusan sukaneka, ketika menjalankan sukaneka ini urusetia yang mengawal sukaneka ini kurang mesra dengan kanak-kanak ini menyebabkan mereka kurang memberi perhatian terhadap penerangan yang diberikan. Namun begitu, pujian harus diberikan kepada urusetia ini kerana dapat menyediakan aktiviti yang menarik kepada kanak-kanak ini. Secara keseluruhannya, semua kanak-kanak terhibur dengan aktiviti sukaneka yang dijalankan.
Selesai aktiviti sukaneka, kanak berkejaran masuk kedalam dewan untuk majlis penyampaian hadiah. Masing-masing kelihatan tidak sabar mengetahui keputusan sukaneka yang mereka tempuhi tadi. Kanak-kanak kelihatan gembira apabila menerima hadiah yang diberikan. Namun perkara yang harus diperbaiki ketika aktiviti ini ialah ketika fasilitator membahagikan hadiah. Suasana ketika itu sedikit kelam-kabut kerana kanak-kanak berebut untuk mendapatkan hadiah yang kumpulan mereka perolehi. Seharusnya, fasilitator harus membahagi dengan lebih terkawal supaya kanak-kanak akan lebih terkawal.
Seterusnya, diri ini juga dapat mempelajari erti sebuah pengetahuan melalui aktiviti “ demonstrasi ‘discrepant event’” yang dijalankan. Bagi kami semua, aktiviti yang kami jalankan sudah biasa bagi kami. Namun, bagi kanak-kanak itu, mereka begitu teruja melihat apa yang kami tunjukkan kerana perkara itu baru bagi mereka. Inilah nilai sebuah pengetahuan, mungkin biasa bagi insan lain, tetapi bernilai bagi insan yang lain. Selain itu, kelemahan yang dapat dikenalpasti daripada aktiviti ini ialah masa yang terlalu singkat dan pergerakkan kanak-kanak yang berterabur. Ini menyebabkan aktiviti ini kelihatan sedikit tidak teratur. Namun secara keseluruhannya, aktiviti ini banyak memberikan input dan output samada kepada kanak-kanak atau semua pelajar guru.
Sampai dipenghujung program ini, rata-rata pelajar guru mula merasa sedih kerana mengetahui yang mereka akan meninggalkan kanak-kanak ini nanti. Namun apa yang dapat dipelajari ialah ikatan yang wujud antara kanak-kanak ini dengan pelajar guru umpama abang atau kakak dengan adik. Begitulah ikatan yang dapat dilihat sepanjang program ini. Semoga kanak-kanak ini akan mengambil pelajar guru sebagai role model supaya mereka berjaya suatu masa kelak.
Sesungguhnya, keseluruhan program ini mengajar erti sebuah kehidupan kepada semua pelajar guru supaya lebih menghargai keluarga yang mereka perolehi. Disamping kebahagiaan yang mereka kecapi.
No comments:
Post a Comment